Tuesday, August 11, 2009

LATAR BELAKANG PENUBUHAN

Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 telah membuka mata pelbagai pihak tentang pentingnya usaha-usaha yang lebih serius diberikan tumpuan dalam menguruskan perbezaan serta sensitiviti yang terdapat dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Berikutan peristiwa itu, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan. Pada 1 Julai 1969,
Jabatan Perpaduan Negara di bawah perintah MAGERAN telah diwujudkan bagi menangani isu-isu berhubung pembinaan semula perpaduan masyarakat di negara ini pada waktu itu. Sejak penubuhannya pada tahun 1969 itu, Jabatan Perpaduan Negara telah mengalami perubahan-perubahan seperti berikut ;
Tahun 1972
Jabatan Perpaduan Negara telah dicantumkan dengan Pejabat Muhibah Negara dan dijadikan Kementerian Perpaduan Negara.
Tahun 1974
Ditukar nama dari Kementerian Perpaduan Negara kepada Lembaga Perpaduan Negara dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Tahun 1980
Lembaga Perpaduan Negara dicantumkan dengan Urusetia Rukun Tetangga dan dinamakan Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Tahun 1983
Jabatan Rukun Tetangga dan Perpaduan Negara diubah kembali kepada nama asalnya iaitu Jabatan Perpaduan Negara.
Pada 27 Oktober 1990,
Jabatan Perpaduan Negara telah diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.
Pada 27 Mac 2004,
Jabatan Perpaduan Negara telah diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dinamakan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional.
Tahun 2008
Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional telah diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan.
Pada 9 April 2009,
Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional telah diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri.

DEFINISI
Bagi memahami secara lebih jelas tentang program-program Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta isu-isu perpaduan dan integrasi nasional, beberapa konsep dan istilah yang berkaitan perlu difahami. Perpaduan Negara
Satu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah, hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. (Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara, Februari 1992)
INTEGRASI NATIONAL
Satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri-negeri dalam Malaysia khususnya di antara negeri-negeri di Semenanjung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk satu
Bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. (Jawatankuasa Integrasi Nasional, Jun 1991)
BANGSA MALAYSIA
Satu bangsa yang bersatu padu, mempunyai satu masa depan yang sama dan diperkongsikan. Sejahtera dan bersatu padu di antara wilayah atau kumpulan etnik. Hidup dalam keadaan harmoni dan berkongsi dengan cara yang sebenar dan adil. Satu Bangsa Malaysia yang kesetiaannya, politik dan kebaktiannya tertumpu kepada bangsa tersebut.